Thursday, February 9, 2012

full sinopsis 6:20 bab 9-13

Bab 9 – Jumaat Malam
Sukma resah memikirkan tetamu misteri 6:20, Jerry yang menghadapi krisis diri, Kelab WX2 dengan ruang sepi yang menjadi tarikan kepada anak muda dan Iskandar yang berkelakuan pelik. Rafiq mengajak Sukma untuk berjumpa di Kafe Flora untuk berbincang tentang Jerry dan beberapa perkara lain. Ketika ingin keluar rumah, Ros menegur Sukma lantas menawarkan diri untuk menghantar Sukma ke Kafe Flora. Di dalam kereta, Ros menyatakan bahawa dia ingin menjenguk Kelab WX2 dan mengingatkan Sukma supaya berhati-hati. Sukma berjumpa dengan Rafiq dan Rafiq memberitahu bahawa dia mengenali lelaki yang pernah muncul di pintu pagar rumah Sukma pada Selasa lalu. Lelaki tersebut ialah Abang Aim iaitu pekerja di ladang ayahya tetapi telah menghilang enam bulan lalu. Walau bagaimanapun, Abang Aim telah berjumpa dengan ayahnya untuk meminta maaf dan menceritakan masalahnya pada minggu lalu. Sukma meminta Rafiq untuk membawanya bertemu dengan Abang Aim bagi merungkaikan misteri tetamu 6:20. Rafiq juga memberitahu bahawa Jerry telah datang berjumpa dengannya dan Alvin. Jerry menyatakan bahawa Kelab WX2 tidak berbahaya dan ruang sepi adalah tempat remaja berkumpul, berbincang dan berbual. Walau bagaimanapun Sukma mengesyaki Rafiq tidak menceritakan hal sebenar kepadanya. Rafiq menjelaskan bahawa dia tidak dapat menceritakan hal sebenar kerana tidak dibenarkan oleh Jerry. Akhirnya, Sukma dan Rafiq mengambil keputusan untuk ke rumah Jerry tetapi mereka berjumpa dengan Jerry yang berpakaian serba hitam di dalam bas yang dinaiki oleh mereka. Selepas berhenti, Sukma bertanya tentang penampilan Jerry yang berubah itu. Jerry menjelaskan bahawa hidupnya kosong dan segala aturan hidupnya ditentukan oleh ibu dan bapanya. Jerry juga menyatakan bahawa dia bergembira apabila berada di Kelab WX2 kerana dia bebas bersuara dan membuat pilihan.
Bab 10 – Sabtu
Sukma bertemu dengan perempuan tua (nenek) yang muncul di pintu pagar rumahnya pada pagi Isnin lalu. Sukma bertanya tentang asal usulnya. Nenek tersebut memberitahu bahawa rumah Sukma panas dan meminta Sukma menyejukkannya. Sukma juga diminta untuk meredakan suasana yang tidak aman di dalam rumah. Sukma manjadi hairan dengan pesanan nenek itu. Sukma berjumpa dengan Teja. Rafiq dan Alvin di Kafe Flora. Kedatangan mereka disambut oleh Reny. Reny memberitahu bahawa dia mengenali Iskandar dan juga mengetahui tentang ruang sepi di Kelab WX2. Sukma ke Kelab WX2 dan memasukinya. Setelah melihat di sekeliling kelab, Sukma mendapati bahawa kelab tersebut tidak langsung menampakkan ciri-ciri kelab muzik rock metal yang ekstrem tetapi lebih kepada kelab ekslusif.
Bab 11 – Sabtu Lagi
Sukma berjumpa dengan Iskandar di Kelab WX2. Sukma berasa agak terkejut dengan sikap Iskandar yang begitu ramah dengannya berbanding dengan sebelum ini. Iskandar seronok menceritakan tentang aktiviti yang dijalankan di kelabnya itu, bukan sahaja mendendangkan lagu-lagu bahkan terdapat juga persembahan wayang kulit yang diundang khas dari Kelantan. Sukma berasa hairan kerana tidak mengetahui kehadiran WX2 di situ. Sambil menurunkan kerusi dari atas meja, Iskandar dan Sukma bercerita tentang rakan mereka yang bernama Reny dan misi kelab mereka. Sukma berlegar-legar di ruang kelab itu dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kelab tersebut terutama sikap Iskandar yang mula menampakkan keganjilan apabila Sukma bertanyakan tentang Jerry. Reny tiba-tiba muncul dan memohon maaf kepada Sukma. Sukma terus mendesak rasa ingin tahunya tentang fungsi kelabnya itu kepada Reny dan Iskandar. Iskandar menyakinkan Sukma bahawa kelab tersebut hanyalah ruang untuk perdebatan dan perkongsian idea.
Bab 12 – Sabtu Siang
Sukma berjumpa Aim (kanak-kanak) di Kedai Runcit Ah Leong. Sukma mendapatkan penjelasan daripada Aim sebab-sebab kedatangannya pada waktu Subuh di rumah Sukma. Aim merupakan anak yatim piatu dan cucu kepada Nenek. Aim melewati rumah Sukma pada Subuh hari itu kerana ingin mengikuti neneknya ke pasar untuk berniaga buah-buahan. Sukma mengajak Aim ke rumahnya. Teja dan Rafiq telah menunggu di rumah Sukma. Teja menanyakan tentang Kelab WX2 kepada Sukma. Sukma menjelaskan bahawa keadaan kelab tersebut berbeza dengan yang diceritakan oleh Alvin dan Jerry. Teja juga pernah dua kali memasuki kelab tersebut. Dia ingin mendapatkan kepastian daripada Sukma tentang ruang sepi kelab itu. Ruang sepi itu merupakan tempat yang penting bagi kumpulan yang dianggotai Iskandar dan rakan-rakannya. Kewujudan ruang sepi itu begitu menjadi tanda tanya kepada Sukma. Sedang mereka berbincang, ibu Sukma balik ke rumah bersama-sama pemandu kereta mereka iaitu Pak Rashid. Sukma meminta Teja membawa Aim ke biliknya. Rafiq meminta izin pulang. Sukma berusaha membawa Teja dan Aim keluar dari biliknya tanpa pengetahuan ibunya setelah mendapat pandangan daripada bapanya. Namun begitu, apabila mendapati Aim tertidur di dalam biliknya, Sukma hanya meminta Teja pulang dahulu. Sukma cuba mendapatkan penjelasan daripada Pak Rashid tentang ibunya yang sering keluar pagi-pagi hari. Namun, Pak Rashid tidak memberitahu apa-apa dan hanya meminta Sukma mencari jawapannya sendiri tetapi dia sedia membantu.
Bab 13 – Sabtu Petang
Selepas solat Asar, Sukma turun ke tingkat bawah untuk meninjau situasi sebelum membawa Aim keluar dari biliknya. Ketika itu juga ibunya memanggil Sukma dan menunjukkan buku yang dibelinya untuk Sukma. Buku itu menceritakan tentang cara-cara menangani tekanan. Sukma tidak menyenangi cara ibunya yang menyangka dia mengalami tekanan jiwa. Tuan Haji Syaqir cuba menenangkan keadaan dengan menanyakan masalah Sukma dan meminta Sukma memohon maaf kepada ibunya nanti. Sukma berjanji akan meminta maaf dengan ibunya atas sikapnya tadi. Sukma lebih tertarik untuk berbincang dengan ayahya tentang masalah remaja yang berlaku kini. Akan tetapi Tuan Haji Syaqir meminta Sukma mendapatkan keterangan lanjut daripada Kak Ros. Sukma tahu ayahnya telah melaksanakan pelbagai program kepada remaja di tempatnya namun begitu ada yang tidak diketahui oleh Tuan Haji Syaqir tentang wujudnya ideologi yang mempengaruhi pemikiran remaja tersebut.

No comments:

Post a Comment