Thursday, February 9, 2012

full sinopsis 6:20 bab 14-16

Bab 14 – Sabtu Malam
Aim membawa Sukma, Teja dan Rafiq ke rumahnya untuk bertemu dengan Abang Aim. Menurut Rafiq, Abang Aim tinggal di sebuah pondok di belakang rumah Tuk Siak. Ayah Rafiq telah menawarkan pekerjaan kepadanya tetapi dia menolaknya. Ketika Abang Aim berjumpa dengan ayah Rafiq, dia telah diberikan wang sebanyak RM 500.00 walaupun Abang Aim menolak. Masyarakat di situ tidak suka kepada Abang Aim kerana dikatakan menghidap AIDS. Abang Aim menasihati Sukma supaya berhati-hati dan memintanya membongkar rahsia yang menyelubungi rumahnya. Tiba-tiba, Iskandar datang untuk menjelaskan tentang ruang sepi kepada Sukma. Sukma pula mendapatkan kepastian daripada Iskandar tentang kehilangan Jerry. Iskandar sendiri tidak mengetahui ke mana Jerry menghilang sebaliknya dia menerangkan kebebasan membuat pilihan dalam hidup. Sukma beranggapan bahawa kebebasan memilih haruslah yang positif dan bukannya yang menghancurkan hidup sendiri. Sukma meninggalkan rumah Abang Aim dan menghantar Aim (kanak-kanak) ke rumah neneknya. Sukma meminta maaf daripada nenek kerana terlambat menghantar Aim pulang. Nenek seorang bidan dan pengasuh kepada Sukma pada masa lalu. Nenek menceritakan keadaan kelahiran Sukma dan Puan Delia yang sakit dan dia sendiri menjaga Sukma selama 2 bulan. Nenek juga memberitahu tentang cucunya yang hampir seusia Sukma meninggal dunia kerana demam panas. Sukma juga mendapati gambarnya yang ketika berusia 4 bulan ada tergantung di rumah nenek itu. Semua yang diceritakan oleh nenek dan jam 6:20 menjadi tanda tanya kepada Sukma.
Bab 15 – Sabtu Malam yang Sama
Sukma terjumpa dengan Jerry yang kelihatan tidak terurus. Jerry tidak mahu Sukma mencampuri urusan peribadinya kerana itu adalah pilihannya sendiri. Sukma dan Rafiq memujuk Jerry supaya pulang ke pangkal jalan. Mereka membawa Jerry ke dalam kereta. Jerry menangis atas kesilapan yang dilakukannya. Sukma memujuk dan meminta Jerry menceritakan semua yang telah berlaku. Jerry hanya meminta Rafiq dan Sukma menghantarnya pulang kerana dia telah lama meninggalkan rumahnya. Selepas menghantar Jerry pulang, Sukma dan Rafiq pergi ke rumah Abang Aim untuk mendapatkan penjelasan tentang Kelab WX2. Sukma telah bersedia mendengar segala penjelasan daripada Abang Aim. Menurut Abang Aim, dia tidak menyuruh nenek dan cucunya pergi ke rumah Sukma pada pukul 6:20 pagi yang lalu. Ayah Sukma juga tidak tahu apa-apa yang telah berlaku. Anggota kelab itu sangat ramai dan mereka sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk memastikan agenda dan perancangan mereka terhasil. Mereka sangat cekap sehingga boleh menghilangkan segala bukti yang ada. Pengikut kumpulan ini juga terdiri daripada 80% remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun. Mereka terdiri daripada pelajar yang cemerlang. Mereka tidak mengganggu Sukma kerana menghormati ibunya Puan Delia. Sukma pulang ke rumah dan diberitahu oleh ayahnya bahawa Kak Ros ingin berjumpa dengannya. Sukma cuba mendapatkan sokongan serta pendapat ayahnya tentang Kelab WX2. Dia berusaha meyakinkan ayahnya supaya mengambil tindakan terhadap kelab itu dan ibunya Puan Delia. Iskandar tiba-tiba datang ke rumah Sukma dan meminta Sukma tidak melakukan apa-apa kerana mereka ramai serta berada di serata tempat. Menurut Iskandar, mereka membunuh secara psikologi. Namun begitu, Sukma telah bertekad untuk melaporkan kepada Kak Ros yang merupakan anggota polis. Dia juga meminta Kak Ros mendapatkan segala maklumat tentang kegiatan kumpulan itu daripada Jerry dan Iskandar.
Bab 16 – Ahad
Iskandar datang untuk berjumpa dengan Sukma tetapi telah didahului oleh Puan Delia, ibu Sukma. Prasangka kepada ibunya semakin kuat kerana sikap ibunya yang kelihatan seperti merahsiakan sesuatu. Nenek dan Aim (kanak-kanak) datang ke rumah Sukma untuk menunjukkan kubur anaknya iaitu ayah Aim yang mati kerana menanyakan kebenaran. Sukma cuba mendapatkan penjelasan daripada nenek tentang ibunya yang terlibat dalam kumpulan tersebut. Titisan air mata nenek seperti membenarkan apa-apa yang telah diterangkan oleh Abang Aim. Sukma pulang ke rumah dan mendapati ibunya telah keluar dengan menggunakan kereta ayahnya. Sukma mengajak Kak Ros ke Kelab WX2 dan meminta ayahnya melaporkan kepada pihak berkuasa. Sukma menjelaskan segala yang telah berlaku dan siapa ibunya yang sebenar kepada ayahnya.

No comments:

Post a Comment