Thursday, February 9, 2012

full sinopsis 6:20 bab 5-8

Bab 5 – Khamis
Jam 6:20 pagi Khamis, seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun berdiri di pintu pagar Tuan Haji Syaqir. Sebaik ternampak kanak-kanak lelaki tersebut, Sukma bergegas ke arahnya untuk bertanya soalan. Kanak-kanak tersebut ketakutan dan melarikan diri. Ibu memarahi Sukma kerana membuka pintu pagar disebabkan dia bimbang akan keselamatan Sukma. Di bilik kuliah, Alvin bertanyakan sebab Jerry berada di Kelab WX2. Sukma dan Teja tertanya-tanya tentang kelab tersebut kerana mereka tidak pernah mendengar tentangnya. Alvin menerangkan bahawa kelab tersebut ialah kelab hiburan yang mengandungi muzik metal ekstrem dan ahli kelabnya sentiasa berkumpul di dalam bilik yang dipanggil ruang sepi bagi mendalami ilmu mencari realiti. Sukma dan rakan-rakannya berkumpul kerana mencari bahan kajian isu peperangan dan penindasan melanda dunia. Jerry memberitahu Sukma tentang Kelab WX2 dan menyatakan Iskandar juga terlibat dalam kelab tersebut.
Bab 6 – Khamis Malam
Sukma memberitahu ayahnya tentang kemunculan tetamu misteri pada jam 6:20 di depan pintu pagar rumah mereka. Sukma meminta ayahnya mencari tetamu tersebut untuk mengetahui sebab mereka hadir ke rumah mereka. Ibu mengatakan bahawa Sukma stres dan mencadangkan kepada ayahnya supaya membawa Sukma pergi melancong. Teja mengajak Sukma ke Kafe Flora iatu kafe milik ibu saudaranya, Su Ani yang berkonsepkan tradisional. Di sana, mereka berkenalan dengan ahli kumpulan Waris Cinta iaitu sekumpulan 30 orang anak muda dari Sarawak yang mengadakan persembahan tarian tradisi. Sukma bertukar-tukar pandangan dengan Reny tentang seni tradisi. Sukma menyatakan bahawa dia ialah guru zapin yang mengajar tarian zapin kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun di kawasan perumahannya.
Bab 7- Jumaat
Jam 6:20 pagi, Sukma menunggu di bangku rehat berdekatan pintu pagar rumahnya untuk menemui kanak-kanak yang pernah muncul sebelum itu. Kanak-kanak tersebut lapar dan Sukma mengajaknya masuk ke rumah untuk memberinya makanan. Nama kanak-kanak itu ialah Aim. Ibu memarahi Sukma kerana membawa kanak-kanak tersebut masuk ke rumah. Aim yang terdengar suara ibu melarikan diri keluar. Apabila Sukma ingin mencari Aim, dia terserempak dengan Pak Rashid. Sukma mengajak Pak Rashid mencari Aim di kawasan sekitar perumahannya. Apabila tidak menemui Aim, mereka pulang ke rumah. Ros menyapa Sukma dan bertanya sebab dia bergegas keluar dengan Pak Rashid. Sementara itu, ibu mencari jawapan tentang kerisauan yang melanda Sukma. Ibu beranggapan Sukma banyak berubah dan merahsiakan sesuatu daripadanya. Sukma menduduki peperiksaan untuk kuliah Profesor Darul. Selepas peperiksaan, Sukma dan rakan-rakannya berbincang tentang istilahterrorism. Rafiq pula menegur Jerry yang kelihatan seperti tidak cukup tidur. Rafiq memberitahu bahawa dia dan Alvin ternampak Jerry dan mengetahui aktiviti yang dilakukannya semalam.
Bab 8 – Jumaat Petang
Sukma, Teja, Alvin dan Rafiq menunggu kedatangan Jerry yang ingin berjumpa dengan mereka di belakang rumah kedai tidak jauh dari Kelab WX2 pada jam 6.00 petang namun Jerry tidak muncul sehingga 6.20 petang. Di seberang jalan, Sukma ternampak anak muda yang pernah muncul di pintu pagar rumahnya. Sukma pergi ke arah lelaki tersebut untuk mendapatkan penjelasan tentang kehadiran dia di hadapan pintu pagar rumahnya namun lelaki tersebut terpinga-pinga sahaja. Rafiq pula menarik Sukma untuk bergerak ke arah Jerry yang dilihatnya di pintu Kelab WX2 bagi berjumpa dengannya. Jerry menyatakan dia tidak dapat bercakap dengan mereka tetapi berjanji untuk berjumpa dengan mereka pada malam itu. Sukma keliru tentang kewujudan Kelab WX2 yang boleh mendapat lesen perniagaan sedangkan kelab tersebut mengajar satu fahaman yang meragukan. Iskandar pula muncul di Kelab WX2 dan mempersoalkan kehadiran Sukma dan Rafiq di situ. Sukma menyatakan bahawa dia mengetahui tentang WX2 dan ruang sepi. Iskandar memujuk Sukma supaya balik ke rumah tetapi Sukma berkeras ingin masuk ke Kelab WX2. Akhirnya hanya Iskandar yang memasuki kelab dan Sukma hanya memerhatikannya.

No comments:

Post a Comment